Skip to content Skip to footer

UPNM perkukuh agenda UPNM30 melalui lima kerjasama strategik di LIMA’25

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) semalam memeterai lima perjanjian (MoU) kerjasama utama bersama rakan industri tempatan dan antarabangsa sebagai sebahagian daripada pelaksanaan agenda strategik UPNM30, sempena Edisi ke17 Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Kerjasama itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordiny ang menzahirkan sokongan penuh Kementerian Pertahanan (MINDEF) terhadap inisiatif yang menyatukan akademia, industri dan keperluan strategik pertahanan negara.

“Ia juga mencerminkan komitmen UPNM sebagai rakan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melahirkan modal insan berkompeten dan memperkasa inovasi teknologi ketenteraan sejajar dengan dua teras utama UPNM30: Kesarjanaan dan Pusat Kecemerlangan,” kata UPNM menerusi kenyataan.

Menurut UPNM, antara pihak yang menjalinkan kerjasama itu ialah Prisma Khas Sdn. Bhd. (MoA), Weststar Aviation Services Sdn. Bhd., Science & Technology Research Institute for Defence (STRIDE), AIROD Sdn. Bhd. (MoU) dan KNDS, Perancis (NDA).

Katanya, MoU yang dijalinkan dengan Prisma Khas Sdn. Bhd. merupakan penyelidikan yang  bertujuan menilai kecekapan dan penggunaan jalur lebar sistem Forensic Evidence Management Systems (FEMS), di samping menjalankan analisis statistik menggunakan teknologi pembelajaran mesin (machine learning).

Projek ini berpotensi memperkukuh kepakaran UPNM dalam teknologi digital forensik dan membuka peluang pengkomersialan sistem kepada agensi penguatkuasaan undang-undang serta pihak berkepentingan lain.

Untuk kerjasama dengan Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. pula ia memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam latihan penerbangan, pensijilan serta sistem berkaitan.

Inisiatif itu akan melibatkan pembangunan modul latihan berdasarkan piawaian industri dan penyediaan sistem pensijilan yang komprehensif.

Kerjasama ini dijangka memperkukuh hubungan antara akademia dan industri serta memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa.

Bagi kerjsama dengan AIROD Sdn. Bhd. ia merupakan MoU selama tiga tahun antara dalam usaha memberi tumpuan kepada pembangunan sistem Aircraft Structural Integrity (ASI), termasuk aspek ketahanan dan analisis struktur pesawat.

Kolaborasi ini turut melibatkan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam ujian ketahanan, analisis tekanan dan penilaian beban pesawat.

“Perjanjian ini turut meliputi penyediaan tenaga pakar, kemudahan makmal dan peralatan teknikal yang menyokong pelaksanaan projek. Ia bakal memperkukuh daya saing UPNM dalam teknologi aeroangkasa yang berimpak tinggi,” katanya.

Untuk Kerjasama dengan Institut Penyelidikan Sains & Teknologi untuk Pertahanan (STRIDE), ia merupakan perjanjian selama lima tahun bersama STRIDE yang merangkumi penganjuran penyelidikan, syarahan dan persidangan dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Perjanjian itu turut membabitkan pertukaran pengetahuan, permohonan geran penyelidikan bersama, serta penggunaan kemudahan dan peralatan penyelidikan secara bersama.

“STRIDE juga diberi keistimewaan untuk menyertai program pengajian pascasiswazah di UPNM. Kolaborasi ini berpotensi meningkatkan kapasiti penyelidikan strategik negara serta menyokong dasar pembangunan teknologi pertahanan nasional,” jelasnya.

Sementara itu, MoU Bersama KNDS, Perancis (NDA) merupakan Perjanjian Kerahsiaan (NDA) selama lima tahun yang syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat pertahanan berprestij dari Perancis, yang akan membuka peluang kepada UPNM meneroka kolaborasi dalam pembangunan industri pertahanan khususnya dalam sistem persenjataan seperti Towed Light Gun.

“Kerjasama ini dijangka memanfaatkan penyelidik UPNM melalui pemindahan teknologi, pendedahan antarabangsa serta peluang pengkomersialan hasil penyelidikan melalui rangkaian global KNDS.

“Ia turut menandakan langkah awal UPNM dalam memperluas pengaruh penyelidikan ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat pertahanan utama dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a comment